Sabtu, 6 Mei 2017

Tempat ketiga penawar duka

ARKIB : 16/01/2005

Daripada A. JAILANI ABDULLAH
 
KETUA pasukan Malaysia, Rosdi Talib (kanan) diasak oleh pemain Myanmar Zaw Zaw dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan bola sepak Piala Tiger 2004 di Singapura, semalam. Malaysia menang 2-1. -Gambar ASWAD YAHYA.

SINGAPURA - Jaringan pertama Mohd. Nor Ismail di pentas antarabangsa membantu Malaysia menang 2-1 ke atas Myanmar untuk skuad negara menduduki tempat ketiga dalam bola sepak Piala Tiger 2004 di Stadium Jalan Besar di sini, semalam.

Sebelum itu penyerang utama negara, Mohd. Khalid Jamlus meletakkan Malaysia di depan sebelum Soe Myat Min menyamakan kedudukan pada awal babak kedua perlawanan.

Kedua-dua pasukan menyimpan kenangan manis di Stadium Jalan Besar setelah masing-masing menundukkan Singapura dalam perlawanan persahabatan beberapa bulan lepas.

Tetapi Myanmar mendapat kejutan sebelum perlawanan dimulakan apabila lagu Negaraku berkumandang sedangkan sebelumnya pengacara meminta 1,638 penonton berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan negara itu.

Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk lebih dulu menguji benteng skuad Bertalan Bicskei apabila ketua pasukan dan penyerang, Myo Hlaing Win melepaskan sepakan deras yang ditangkap kemas oleh Mohamad Syamsuri Mustafa.

Myanmar yang tidak pernah mara sebegini jauh, kelihatan akan menguasai perlawanan tetapi Malaysia perlahan-lahan membentuk gerakan mantap.

Pada minit keempat, Khalid dan pemain tengah, Muhammad Shukor Adan membuat sepakan tepat - kedua-duanya diselamatkan oleh pertahanan kanan, Min Thu berhampiran garisan gol.

Hanya dua minit kemudian penjaring empat gol dan antara calon pemain terbaik kejohanan, Liew Kit Kong merembat dari kiri selepas menerima umpanan pemain tengah, Fadzli Saari untuk memaksa Aung Oo merebahkan badan bagi menyelamatkan gawangnya

Tetapi Aung Oo tidak mampu berbuat banyak pada minit ke-15 apabila terpaksa berdepan satu lawan satu dengan Khalid.

Keghairahan Malaysia menyerang membuahkan hasil pertama menerusi serangan balas. Pemain pertahanan, Muhammad Kaironisam Sahabuddin mendapat bola lantas membuat larian solo sebelum mengumpan kepada Khalid yang kemudiannya menewaskan penjaga gol, Aung Oo dan tenang membuat sepakan ke gawang yang terbuka.

Malaysia terus menguasai perlawanan tetapi Myanmar bangkit untuk memberikan saingan lebih sengit selepas itu ketika percubaan Kit Kong dan sayap kanan, D. Surendran tersasar.

Di sebalik ketiadaan tiga pemain handalan mereka, Zaw Lynn Tun (2), Moe Kyaw Thu dan penyerang utama, Yan Paing yang digantung perlawanan, Myanmar masih kelihatan gagah.

Myanmar menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-28 tetapi pengadil, Vo Minh Tri dari Vietnam melayangkan kad kuning kepada Soe Myat Min kerana berlakon telah dikasari.

Malaysia kemudian bernasib baik selepas itu apabila sepakan deras Hlaing Win pada minit ke-30 dan 42 hanya menggegarkan palang gol.

Melihat tekanan yang semakin memuncak, Bicskei membuat perubahan terhadap barisan pemain dengan memasukkan penyerang muda, Mohd. Nor menggantikan Kit Kong dan K. Nantha Kumar mengambil tempat Fadzli pada awal babak kedua tetapi tersentak oleh gol penyamaan Myanmar pada minit ke-52.

Myanmar yang menyambung permainan dengan aksi lebih garang selepas rehat kembali bersaing, terima kasih kepada penjaga garisan yang tidak mengangkat bendera untuk memudahkan Myat Min membuat sepakan mudah ke gawang.

Myat Min, penjaring gol tunggal dalam pertemuan kedua-dua pasukan pada peringkat kumpulan di Bukit Jalil, berada pada posisi yang jelas ofsaid ketika mendapat bola dan menggelecek Syamsuri.

Namun, kedudukan 1-1 tidak bertahan lama. Ketika para penyokong Myanmar bersorak, Mohd. Nor mengejutkan mereka dengan gol pada minit ke-55 selepas berjaya melepaskan diri daripada perhatian benteng lawan untuk menyusul sepakan Khalid yang terkena pemain Myanmar. Penyerang yang akan menyarung jersi Perak itu tenang mengawal bola di sebelah kanan gawang sebelum membuat sepakan sungkit untuk menewaskan Aung Oo yang meluru keluar.

Myanmar sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi Mar La tetapi kali ini perangkap ofsaid Malaysia mengena. Empat minit kemudian Syamsuri pula mengecewakan mereka apabila menepis keluar sepakan Myat Min dari jarak dekat, yang kemudian menyaksikan sepakan bebasnya pada masa kecederaan tinggi melepasi palang.

Selepas perlawanan, Bicskei memuji persembahan anak-anak buahnya dan menganggap mereka menunjukkan peningkatan.

``Ini keputusan yang baik bagi kami setelah menduduki tempat keempat dua tahun lepas,'' kata jurulatih dari Hungary itu. ``Kemajuan pasukan mungkin tidak begitu besar tetapi ia masih sesuatu yang bagus.''

Bicskei, 66, menafikan mereka menang kerana nasib baik tetapi anak-anak buahnya telah berusaha keras untuk menang.

``Malah, jaringan Myanmar juga sepatutnya tidak disahkan kerana ofsaid. Mungkin penjaga garisan tidur,'' kata Bicskei.

Malaysia membawa pulang AS$20,000 (RM76,000) hasil kejayaan itu manakala Myanmar mendapat AS$10,000 (RM38,000). - Mingguan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gMLBJpi0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 5 Mei 2017

Berjuang habis-habisan - Rosdi

ARKIB : 14/12/2004
KETUA pasukan Malaysia, Rosdi Talib meminta rakan sepasukannya bermain bermati-matian bagi memastikan kemenangan ke atas Thailand pada perlawanan Kumpulan B bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Rosdi berkata, perlawanan menentang musuh tradisi itu bakal menentukan nasib pasukan negara kerana jika seri atau tumpas, bermakna impian Malaysia untuk ke separuh akhir punah.
``Perlawanan esok memang kita mahu menang. Ia penentu hidup mati pasukan negara. Kalau semangat serta persembahan yang dipamerkan sebagaimana ketika separuh masa kedua menentang Myanmar malam tadi, saya yakin kita boleh menang,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pemain pertahanan kiri yang beraksi untuk Pahang dalam Liga Super musim 2004 itu berkata, Malaysia perlu mengekang kehebatan jentera tengah Thailand yang diterajui ketua pasukannya, Therdsak Chaiman.
``Thailand memang unggul di bahagian tengah. Therdsak perlu kita awasi dan kita juga jangan mempersia-siakan peluang yang ada serta tidak mengambil mudah kerana ini bukannya perlawanan peringkat kelab tetapi perlawanan membabitkan pasukan negara,'' katanya.
Rosdi diberi kepercayaan menjadi ketua pasukan oleh jurulatih, Bertalan Bicskei sejak perlawanan pertama di bawah kendaliannya lagi ketika Malaysia mengalahkan Thailand 2-1 pada perlawanan persahabatan di Bangkok Ogos lepas.
Beliau berkata, kemenangan pada perlawanan persahabatan itu memberikan sedikit kelebihan buat Malaysia, yang dikejutkan Myanmar 1-0 malam tadi selepas membelasah Timor Leste 5-0 dan Filipina 4-1 dalam dua perlawanan awal.
Pada perlawanan Piala Tiger 2002 di Singapura, Malaysia menundukkan Thailand 3-1 dalam perlawanan kumpulan dan Rosdi menyifatkan pasukan Thailand ketika itu lebih handal berbanding skuad sekarang, yang kebanyakannya dibarisi pemain muda.
Sementara itu, pengurus pasukan negara Datuk Seri Dr Ibrahim Saad menyeru peminat bola sepak tempatan agar datang ke stadium memberikan sokongan tidak berbelah bagi buat skuad negara.
``Segala-galanya belum berakhir lagi. Semua pemain memerlukan sokongan daripada penyokong. Adalah satu perkara yang mendukacitakan apabila mereka mendapati lebih ramai penyokong Myanmar daripada penyokong kita malam tadi.
``Jangan biarkan perkara itu berulang lagi. Sokongan amat diperlukan tambahan pula kita berjuang untuk menempah tiket ke separuh akhir.
``Memang kita kecewa kalah dengan Myanmar tetapi yang pasti pemain sendiri hendaklah berjuang untuk memastikan matlamat berjaya dicapai,'' katanya.
Rosdi turut mengakui pengalaman beraksi menentang Myanmar malam tadi ibarat beraksi di gelanggang lawan kerana lebih mendengar teriakan dan gema sorakan penyokong lawan berbanding penyokong sendiri.
``Doakanlah kemenangan kami,'' kata Rosdi yang setakat ini berjaya membantu Malaysia mara ke separuh akhir kedua-dua Piala Tiger yang disertainya pada 2000 di Thailand dan 2002 di Singapura/Indonesia. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4gDlgU53Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia dibelasah - Khairil pula kena kad merah

ARKIB : 05/03/2001
Qatar... 5 Malaysia... 1
 Daripada: A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Pasukan bola sepak negara menerima igauan buruk apabila dibelasah 5-1 oleh pasukan pilihan, Qatar dalam perlawanan pembukaan pusingan kelayakan Piala Dunia kumpulan Tiga Asia di Stadium Hong Kong, Causeway Bay, di sini semalam.

Meskipun berjaya mengejutkan lawan dengan gol pendahuluan menerusi jaringan Rosdi Talib seawal minit kesembilan cabaran Malaysia longlai pada babak berikutnya.

Tambah mengecewakan apabila pemain pertahanan, Khairil Zainal pula menjadi korban kad merah apabila dia menepis bola di depan garisan gol.

Pemain tengah, Rosdi meletakkan Malaysia di hadapan menerusi sepakan percuma setelah penyerang muda, Akmal Rizal Rakhli dijatuhkan berhampiran kotak penalti.

Jaringan Rosdi ibarat menjolok sarang tebuan. Qatar bingkas dengan gol penyamaan pada minit ke-10 menerusi tandukan penyerang tinggi lampai, Mohamed Salem El-Enazi di depan pintu gol selepas menerima bola hantaran lintang Mubarak Mostafa Fazli.

Salem, satu-satunya pemain Qatar yang beraksi dengan kelab luar negara, Al-Wadh di Amiriah Arab Bersatu, mencipta hatrik apabila menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-37 dan 59.

Dua lagi gol Qatar disumbangkan oleh Mubarak Mustofa menerusi sepakan penalti pada minit ke-52 dan tandukan Jassim Yousuf Al-Tamimi di dalam kawasan gol 15 minit sebelum permainan tamat.

Malaysia bermain dengan agak baik pada babak pertama walaupun kurang senang dengan banyak keputusan penjaga garisan yang tidak mengangkat bendera apabila penyerang lawan ofsaid.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mubarak setelah tangan Khairil terkena bola pada minit ke-52 menjadi detik kemusnahan semangat juang skuad negara.

Penjaga gol skuad negara, Mazelan Wahid nyata gugup beraksi dalam perlawanan antarabangsa pertamanya sejak Sukan SEA Chiang Mai 1995 dan banyak membuat kesilapan.

Penjaga gol Sarawak itu bagaimanapun tidak boleh menjadi sasaran kritikan kerana dia hanya dipanggil tiga hari sebelum skuad negara berlepas ke sini, menggantikan Azram Aziz dan Kamarulzaman Hassan yang disingkirkan akibat masalah disiplin.

``Mazelan banyak membuat kesilapan, tetapi saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya kerana dia hanya dipanggil pada saat-saat akhir,'' kata jurulatih negara, Allan Harris selepas perlawanan.

Beliau memuji permainan anak buahnya pada babak awal yang menurutnya dimusnahkan oleh keputusan penjaga garisan yang tidak profesional.

``Kita bermain dengan baik pada separuh masa pertama tetapi penjaga garisan tidak profesional. Banyak kali penjaga garisan tidak mengangkat bendera apabila pemain-pemain Qatar berada dalam keadaan ofsaid,'' kata Harris.

Beliau bagaimanapun mengakui Qatar bermain dengan baik sesuai dengan diri mereka yang menjadi pilihan utama kumpulan ini.

``Saya tidak terkejut dengan keputusan ini kerana kita tahu Qatar memang pasukan yang kuat. Bagaimanapun perlawanan ini baik untuk pendedahan kepada pemain-pemain muda,'' kata Harris yang menggantikan V. Saravanan dan Anuar Jusoh dengan dua pemain muda, Jaafar Salleh dan Gilbert Cassidy.

Harris tidak menurunkan penyerang senior, Rusdi Suparman sebaliknya menggandingkan Hairuddin Omar dengan penyerang berusia 19 tahun, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang jarang mendapat bola.

Ini perlawanan antarabangsa pertama Akmal, pemain dari Kedah yang menimba pengalaman dengan kelab Perancis, FC Haguenau sejak hujung 1999.

MALAYSIA - Mazelan Wahid, B. Rajanikandh, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli, Anuar Jusoh (Gilbert Cassidy), Khairil Zainal, Rosdi Talib, V. Saravanan (Jaafar Salleh), Bahtiar Othman, Mohd. Shukor Adan.

QATAR - Amer Abdulrahman Al-Kaabi, Mubarak Mostafa Fazli, Dahi Saad Al-Naemi, Jassim Yousuf Al-Tamimi, Mohamed Salem El-Enazi (Meshal Abdullah B.M Abdulla), Saoud Fath Al-Kathiri, Saad Sattam Al-Shammari, Yousuf Adam Mahmoud, Waleed Hamza Rasoul, A-Rahman Mahmoud Mohd., Abdulaziz Hassan Bujaloof (A-Nasser Ali Al-Obaidly). - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bTm66zpI© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 15 Mac 2017

Harris masih belum temui rentak



 
ARKIB : 20/02/2001
PENYERANG kebangsaan, Rusdi Suparman (kanan) melarikan bola daripada pemain Kelantan pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam. Malaysia menang 2-1. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

SKUAD bola sepak ke-bangsaan beraksi agak hambar walaupun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam semalam.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris tidak menurunkan pemain-pemain utamanya sebaliknya meletakkan sebahagian besar pemain `simpanan' yang jelas sukar menemui rentak permainan.

Begitu pun, penyerang, Khalid Jamlus meletakkan skuad negara di depan menerusi tandukan pada minit ke-21.

Harris menggandingkan Khalid dengan Rusdi Suparman tetapi Rusdi kurang menyerlah dan digantikan dengan Hairuddin Omar pada awal babak kedua.

Hairuddin pantas melebarkan jaringan sebaik lima minit beraksi di padang menerusi hantaran silang V. Saravanan.

Kelantan, yang dibimbing bekas jurulatih Selangor, K. Rajagopal beraksi lebih agresif berbanding skuad negara sehingga berjaya merapatkan jurang gol ketika permainan berbaki 20 minit menerusi jaringan Annuar Abu Bakar.

Harris merehatkan ketua pasukan Ahmad Shahrul Azhar dan bahagian tengah dijana oleh Bobby Pian dan Shukor Adan.

Anuar Jusoh dan Rosdi Talib di sebelah kiri juga tidak diturunkan sebaliknya Harris meletakkan Irwan Fadzli dan Gilbert Cassidy.

Begitu juga di bahagian kanan dengan Leong Hong Seng dan Jaafar Salleh mengambil tempat pemain biasa, Bahtiar Othman dan Saravanan.

Pasukan kebangsaan sedang membuat persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2002 yang bakal berlangsung awal bulan depan.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia bersama-sama Hong Kong, Qatar dan Palestin.

Pusingan pertama di Hong Kong pada dari 4-11 Mac sementara Qatar menjadi tuan rumah pusingan kedua di Doha pada 20-25 Mac.

Awal bulan ini Malaysia mencatat dua kekalahan dan satu kemenangan ketika berkunjung ke Fiji. Mereka juga menewaskan kelab FC Aarau dari Switzerland dengan kemenangan bergaya 5-1 di Shah Alam pada 28 Januari lepas.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bPCqLLJx
© Utusan Melayu (M) Bhd