ARKIB : 29/11/1998
PENTAS saingan akhir Piala Malaysia 12 Disember ini di
Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menyaksikan pertembungan menarik Terengganu
berdepan dengan Perak selepas masing-masing melepasi halangan getir di pusingan
separuh akhir kedua semalam.
Malam yang penuh bermakna dan paling mendebarkan
selepas kancah saingan Perdana Satu dan Dua selain kempen awal Piala Malaysia
yang pada mulanya malap kembali ceria di kedua-dua stadium.
Begitupun Terengganu juara Perdana Dua merintis jalan
mudah menepati ramalan menggamit aksi di pentas perlawanan akhir selepas 16
tahun apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah dalam saingan di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Namun nasib berbeza buat Perak terpaksa berhempas
pulas berdepan dengan kedegilan Negeri Sembilan sebelum pemain gantian Lim Seng
Kong muncul hero menerusi jaringan 'emas' pada minit ke-96 untuk layak ke final
dalam perlawanan di Stadium Perak.
Buat Perak dan Negeri Sembilan sama-sama kuat dan handal
menamatkan cabaran 90 minit tanpa jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat
2-2 dalam saingan separuh akhir pertama di Paroi.
Aksi masa tambahan sudden-death jelas
memihak kepada Perak dengan sepakan jarak jauh Seng Kong biarpun berjaya
ditepis oleh penjaga gol lawan Md Yazid Md Yassin namun bola bergolek masuk
menggegar jaring.
Ketika pemain Perak berlari mengelilingi padang namun
kesebelasan utama Negeri Sembilan tunduk layu merintis kekalahan yang tidak
diduga hanya sembilan minit masa tambahan berlangsung.
Kejayaan ini merealitikan impian Perak untuk mara ke
akhir selepas kali terakhir muncul juara pada 1970.
Suasana yang begitu tegang di Stadium Perak sebaik
Seng Kong meledakkan jaringan menjadi gamat dengan tepukan dan sorakan
penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ruang di Stadium Perak.
Kemenangan Terengganu disaksikan di hadapan 18,000
penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ruang stadium melihat Samuel Chebli
meledakkan jaringan pada minit ke-26 dan Badrul Hisham Abdullah pada minit ke-89.
Terengganu yang kali terakhir beraksi di final pada
1982 mengesahkan kemaraan dengan penuh bergaya menafikan hajat Sabah menerusi
agregat 4-0.
Pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di
Likas minggu lepas, Terengganu mencapai kemenangan 2-0 menerusi jaringan Wan
Ahmad Ridzuan dan Samuel Chebli.
Perlawanan semalam jelas memihak kepada tuan rumah
berbekalkan kemenangan 2-0 mengasak awal sebaik babak bermula.
Begitupun Sabah yang mahu menebus kehampaan turut
membuka langkah mencari gol menerusi penjaring terbanyak dengan 11 gol Saphou
Lassy namun agak sulit untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah.
Percaturan jurulatih Sabah, Ken Shellito hingga
membawa masuk Mohd Jaya Kassim pada babak pertama turut tidak mampu mengubah
nasib sebaliknya Terengganu nyata unggul.
Pada minit ke-26, Chebli tidak mensia-siakan peluang
yang hadir hasil bola muntah untuk menolak masuk gol pertama Terengganu.
Sabah yang memasukkan Mohd. Jaya Kassim, Jainin Tinin
dan Ramlan Selamat masih tidak berupaya menembusi benteng pertahanan tuan
rumah.
Begitupun dalam babak kedua corak permainan kedua-dua
pasukan agak kurang kemas dalam keadaan padang licin ekoran hujan turun sejak
petang.
Perlawanan kedua-dua pasukan yang tegang memaksa
pengadil Nazri Abdullah melayangkan tiga kad kuning kepada pemain Sabah iaitu
Ramlan Selamat, Jainin Tinin dan Veselin Kovacevic.
Manakala satu kad kuning dilayangkan kepada pemain
Terengganu Jean Nyima.
Begitupun di minit-minit babak hendak ditamatkan
Terengganu menambah gol kedua menerusi pemain tengah Badrulhisham Abdullah
hasil umpanan pemain gantian Baharuddin Ali.
Sementara itu jurulatih Terengganu, Abdul Rahman
Ibrahim melahirkan rasa terharu dengan kemampuan pemainnya beraksi cemerlang
untuk memastikan kejayaan mara ke perlawanan akhir.
''Saya bangga dengan kesungguhan pemain biarpun
strategi awal dalam tempoh 10 minit babak awal tidak menjadi namun Sabah tidak
mahu menggunakan kesempatan itu,'' katanya.
TERENGGANU: Zubir Ibrahim,
Azman Ismail, Jean Nyima, Syamsol Mohd Saad, Badrul Hisham Abdullah, Seidu
Issifu, Wan Ahmad Ridzuan (Baharuddin Ali), Anuar Jusoh, Samuel Chebli, Rosdi
Talib, Mohd Nor Derus
SABAH: Khairul Azman
Mohamad, Andrew Majanggin (Jainin Tinin), Borhan Ajui (Ramlan Selamat), Veselin
Kovacevic, Suharmin Yusof (Mohd Jaya Kassim), Dunian Sulog, Spahou Lassy, David
Rocastle, Henry Soimpon, Yap Wai Loon, Jelius Ating.